Followers

Tuesday, March 6, 2012

::Memancing di Pulau Ketam::

Kesedihan di hati masih belum berlalu tetapi waktu dan hari akan tetap beredar tanpa menunggu walau sesaat.  Mencari kekuatan untuk terus berhadapan dengan hari mendatang.  Okey switch off kisah duka lara, mari mencari sedikit kegirangan di hati.

Kita balik ke tahun 2011 =) Biasalah, bukan blogger sejatikan.  Semuanya akaun tertunggak.  Waktu cuti Krismas yang lalu Abang sibuk ajak turut serta kawan-kawan dia pergi memancing.  Tanya punya tanya terus setuju sebabnya tempat belum pernah sampai.

Mesti ramai hairankan kenapalah aktiviti ramai lelaki pun sibuk nak selit?  Bukan saya suka-suka sibuk tetapi kekasih hati ni desakkan dia lain macam!  Timbang tara pelbagai faktor juga dan bukan main tangkap muat sahaja untuk turut serta.

Kali ini mereka memancing di sebuah kelong terletak di Pulau Ketam.  Menaiki bot berhawa dingin dari Pelabuhan Klang.  Harga tiket RM10 seorang.  Bot memanglah sejuk dan besar tetapi tak sangka pula sesak yang amat.

Jangan tak tahu ramai sebenarnya penduduk di Pulau Ketam ni dan mereka menggunakan bot sebagai penghubung di antara rumah dan darat.  Sepatutnyalah pun banyak perkhidmatan bot di pelabuhan.

Pemandangan dari tempat letak kereta.  Alhamdulillah selamat meninggalkan kereta seharian, tetapi kena bayarlah ya.  Kalau tak silap RM7

Apa yang kurang menyenangkan, pengusaha seboleh mungkin memadatkan bot tersebut.  Aduhai, sudahlah tempat duduknya ngam-ngam untuk badan bersaiz biasa.  Langsung tidak punya ruang di hadapan.  Akibatnya, barang-barang terpaksa ampu di kaki.  Hilang keselesaan perjalanan.

 Ruang kecil dengan begnya banyak.  Maunya tak, dengan beg baju, beg laptop, beg peralatan.  Sudahnya laptop tak pakai pun.  Bergulung dalam selimut kena sengugut!

 Tengok di belakang bot sampai ada sanggup berdiri kerana tidak selesa dengan kerusi disediakan.  

Perjalanan memakan masa lebih kurang 30 minit untuk tiba ke Pelabuhan Pulau Ketam.  Rupanya bot-bot ini boleh melakukan pit stop ke beberapa pelabuhan kecil.  Mungkin mereka dah biasa dengan penumpang tersebut.  

Terfikir seketika, tidakkah penduduk Pulau Ketam mengimpikan arus kemodenan?  Tidakkah mereka jemu dengan kehidupan sebegini, menggunakan bot untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat?

Paling tidak menginginkan tempat berlibur seisi keluarga.  Di sebalik persoalan tersebut, saya terfikir mungkin pendapatan menjadi hamba hasil laut menguntungkan dan kerana itu mereka sanggup melupakan apa sahaja ada di tanah besar.  

Yalah, siapa tahu rumah mereka lebih besar dari kita pakej kelengkapan segalanya.  Hak milik sendiri pula tu, sedangkan kita yang hidup di bawah kencang arus pembangunan belum mampu punya aset sebegitu.


Saya boleh katakan hampir 90% majoriti penduduk Pulau Ketam berbangsa Cina.  Jika ternampak kelibat bangsa lain, kebanyakkan hanya datang punya tujuan khusus dan bukannya sebagai penghuni alam Pulau Ketam.


 Gambar di atas merupakan antara kediaman penduduk Pulau Ketam dan juga bangsal bot nelayan.  Teringat filem Bisikan Cinta era 90-an lakonan Azhar Sulaiman dan Maria Farida.  Lokasi penggambaran di lakukan di Pulau Ketam dan sehingga hari ini tidak banyak  berbeza.  Tak tahu pula kalau naik ke atas, mungkin pemandangan sedikit berbeza.

Bila tiba di jeti, ingatkan sudah sampai ke destinasi tujuan.  Rupanya tidak, terpaksa menaik sebuah lagi bot kayu untuk ke kelong tersebut.  Bot kali ini lebih bertindak sebagai teksi air.

Lebih banyak perhentian kecil akan dilalui, walaupun hanya seorang sahaja penumpang yang akan turun di situ.  Tambang dikenakan RM5 seorang bagi satu perjalanan dan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk sampai ke kelong.

Sempat bergambar menantikan kedatangan sebuah lagi bot untuk ke destinasi berikut


                                         Pemancing-pemancing tegar


   Perjalanan perlahan membuatkan mereka semua serasa tidak sabar untuk tiba ke destinasi

Boleh tahan juga kelong tersebut.  Sayangnya saya tidak punya gambar keadaan sekeliling kelong untuk dikongsi.  Ruang memancing selesa, bilik persinggahan bersih dan kemas, bilik air bersih.  Pendek kata tidak perlu risau hal keselesaan. 

Sesuai jika bercadang membawa keluarga bersama.  Sewa bilik RM35 satu malam dan sebatang pancing dikenakan RM10.  Kiranya sesiapa tidak bercadang untuk bermalam pun boleh atau hanya ingin bermalam tanpa mahu memancing.

Masalah cuma satu, tiada kedai menjual makanan berat.  Yang ada hanyalah makanan ringan dan minuman.  Bawa bekal secukupnya kerana pasti akan kelaparan.  Mereka ni semua siap bawa dapur untuk memasak.

Secara keseluruhan memuaskan, hanya hasil tangkapan agak kureng sedikit.  Bukan rezeki mereka barangkali.  Tetapi tetap ada dari tiada langsung.  Nak cerita lebih-lebih hal memancing pun tak boleh sangat kerana tidak turut serta.

Sedang asyik bermalas-malas di atas tilam dek hujan melebat, tiba-tiba perut sakit lain macam.  Rupanya kedatangan mengejut 'rakan baik'.  Apa lagi, dalam keadaan sejuk melampau bergulung dalam selimut menahan sakit amat sangat!  Nasib baik payung tersedia sejak awal.  Kalau tidak mahu ada yang pulang jam-jam tu juga.  

Keesokkannya pulang jam 10 pagi menaiki bot laju pula.  Tambang RM10 seorang sedikit mahal dari semalam tetapi perjalanan terus ke jeti Pelabuhan Klang.  

Tak seronoknya, pemandu bot bawa melaju tak ingat dunia.  Melambung-lambung kami penumpang.  Bagi mereka tiada apa-apa tetapi buat kami yang jarang-jarang menaiki bot pasti rasa cuak.  Buat terbaliklah bot tersebut tak ke naya!

Sesiapa bercadang nak ke sana, boleh nanti saya minta nombor telefon dari rakan-rakan Abang.  Katanya tempat tersebut ibarat pisang panas, ramai berminat ke sana kerana hasil pulangan lumayan. 

Saya?  Cukup sekali rasanya.  Melainkan jika pergi dengan orang lain untuk memberi keseronokan berbeza.

  Abang bersama rakannya Din


Masing-masing sibuk menyediakan senjata ke medan perang

Keadaan huru-hara sebelum melepaskan umpan.  Sayangnya tidak sampai setengah jam, langit gelap dan disusuli hujan lebat



 Bersama hasil tangkapan.  Walau tidak memuaskan cukuplah buat mereka menghilangkan gian memancing



Bergambar sebelum menaiki bot untuk pulang




Datang menaiki bot kayu, pulang menaiki bot laju

   




nota:  aktiviti berjalan terakhir buat 2011  

No comments :

Post a Comment

Share it